Halaman

Rabu, April 21, 2010

ucapan pengetua (bulan bahasa 2009)

Assalamualaikum WBK.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-NYA dan dengan izin-NYA juga kita semua dapat berkumpul pada pagi yang berbahagia ini dalam satu majlis yang sungguh bermakna pada kita semua. Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Bidang Bahasa kerana menganjurkan Bulan Bahasa 2009.
Tahun ini merupakan tahun ke-11 Bulan Bahasa disambut, kali pertama ialah pada tahun 1999. Kerajaan telah meluluskan acara ini sebagai acara negara berdasarkan pertimbangan bahawa pembangunan dan kemajuan Negara tidak boleh diukur daripada aspek fizikal dan kebendaan semata-mata sebaliknya perlu menyeluruh dan bersepadu. Dalam konteks ini, bahasa dan sastera sebagai unsur penting kebudayaan dan tamadun bangsa & Negara tidak boleh dipandang sepi dalam arus pembangunan Negara.
Setahun sebelum kemerdekaan iaitu pada tahun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan atas kesedaran bahawa persediaan perlu dimulakan untuk menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi , bahasa ilmu bagi sebuah agama baru yang bertauliah.
Dalam hubungannya dengan majlis kita pada hari ini, dasar bahasa Kebangsaan telah memperlihatkan hasil yang nyata. Dengan adanya bahasa Kebangsaan perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan telah dapat diwujudkan. Bahasa Kebangsaan telah berperanan sebagai asas pembentukan jatidiri dan citra bangsa Malaysia.
Sambutan Bulan Bahasa ini akan diikuti dengan kempen berbahasa secara betul di adakan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek penggunaan bahasa tetapi juga melibatkan aktiviti yang turut mengembangkan secara meluas dari aspek:-

• Pemupukan bakat seni
• Kemahiran berkarya
• Kemahiran berfikiran secara kritis dan kreatif
• Membina ketajaman intelak
• Membudayakan ilmu.

Dalam konteks pendidikan, pemakanan perlu dilakukan secara tuntas kerana tuntutannya amat mendesak. Bahasa Melayu merupakan pra-syarat lulus SPM, manakala untuk lulus bahasa melayu pelajar wajib lulus ULBS ( Ujian Lisan ). Oleh itu penekanan secara berfokus dengan daya usaha tinggi perlu dilakukan segera baik oleh pelajar mahupun para guru.
Dalam konteks Negara amnya, ketinggian budi dan bahasa sangat dituntut. Kita perlu menjadi warga yang berbudi bahasa dan keperluan ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri warga negera yang berkualiti. Ketinggian budi bahasa dan adab sopan pula dapat membezakan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu.
Atas dasar inilah maka Bulan Bahasa Melayu 2009 dilancarkan di SMK Jengka 6. Saya percaya melalui aktiviti atau program yang diaturkan dalam Bulan Bahasa ini boleh menjadi titik tolak bagi mempelopori usaha yang lebih besar untuk mencungkil bakat dan menggilap potensi pelajar. Sekaligus usaha ini akan memperkasa bahasa Melayu.
Akhirnya saya berdoa dan berharap agar Bulan Bahasa ini akan dapat menyedarkan seluruh warga SMK Jengka 6 tentang pentingnya mengisi Dasar Bahasa Kebangsaan yang telah terbukti dapat membentuk perpaduan rakyat dan dapat mengisi erti kemerdekaan yang kita capai melalui pelaksanaan fungsinya sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa ilmu.
Bersama harapan itu saya dengan lafaz Bismillaahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya merasmikan Bulan Bahasa peringkat SMK Jengka 6 2009.

Terima kasih.


( TN. HJ. HAYUDIN B. MD SUHOR )
Pengetua,
SMK Jengka 6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan